reallifegoeslikethis
Merindui Buku
Inilah denai jejak seni ke hati
Puncak fikir yang indah sekali,
Tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
Kita tak sempat sampai ke mercu itu.
Di sini diri sentiasa di taman
Menikmati unggas dan puspa yang menawan;
Di sinilah vista buku saraf seni,
Meranum akal mematang peribadi.
Kita wajar berpesta di kalbu buku
Menghayati nikmatnya seindah syahdu
Dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
Lebih cepat kita terasuh dewasa.
Buku adalah denyut nadi utama
Penting bagi minda waras manusia;
Dan buku juga gema fakir yang sakti,
Nyaman dan mesranya sebuah simfoni.
Kita memupuk insan yang luhur budi
Melalui tapisan hikmat berseni;
Dan buku memang tasik aneka ilmu
Yang perlu diselami sejujur kalbu.
Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah
Kita merindu buku dan ghairah baca
Agar sentiasa canggih dan berhemah.
A. Samad Said.
___________________
:) Di tangan saya ada 6 buah buku baru. Semuanya dalam bahasa Melayu. Agak lama juga tidak berseronok-seronok membaca novel-novel Melayu. Bukan kerana penerbitannya sedikit, cuma yang sesuai dengan jiwa payah nak didapati. Jadi sebelum ini saya berlemas-lemasan dengan Kontz, Brown, Rowlings, Lewis atau Parson.
Sudah seperti satu kewajipan bagi saya untuk membaca novel-novel pemenang Hadiah Sastera Utusan. Syukur teman yang seorang itu tidak pernah lokek dan berkira untuk meminjamkan saya edisi terbaru 2005. (Terima kasih,ya)
Faisal mengganas lagi. Kali ini hinggakan dua bukunya memenangi hadiah utama novel. Advencer Si Peniup Ney untuk Hadiah Pertama dan Detektif Indigo untuk Hadiah Kedua. Tema remajanya jelas dan meyakinkan. Seperti biasa, kalau tiada soal kesufian dan sains teknologi yang canggih-manggih, bukan Faisal namanya.
Walau siapa pun dan di mana pun dia, saya doakan penulis yang seorang ini sentiasa diberi hidayah dan memahami hikmah. Insyaallah.
Novel Pritt!, pemenang tempat ketiga juga ada di tangan saya. Bahasa dan jalan ceritanya baik; cuma jadi kerdil bila berlawan dengan tema universal (keganasan, teori remaja indigo dan tentu sekali realiti tv) Faisal. Rasa tersinis benar bila mengenang maktab OIC dalam Detektif Indigo dan Konsert Fantasia dalam Advencer.
Novel sepanjang zaman, Hujan Pagi karya A Samad Said adalah buku keempat. Berkulit tebal, harga lebih RM60, saya mungkin agak kedekut jika diminta membelinya. Lebih-lebih lagi di zaman e-buku ini, semua benda bisa digodam atau paling kurang lebih murah. Saya belum membacanya tapi tentu saja ia menggoda.
Dua novel yang lain tulisan Pram. Saya suka benar Pramoedya Ananta Toer. Bukan cinta songsang,ya. Ini jatuh cinta tulisan dan karya yang bermutu. Panggil Aku Kartini Saja dan Percikan Revolusi Subuh. Buku ini memang nggak bisa ketemu di mana-mana posto biasa, bahkan Kinokuniya. Teman itu benar-benar meraikan saya (sempena hari jadi yang sudah lama berlalu, katanya) dengan dua buku Pram ini.
Sejujurnya saya memang terkesan dengan penulis dan pemikir Indonesia. Saya memandang sinis pada Kassim Ahmad, apatah lagi Astora Jabat, tapi ada tempat dalam ruang bincang saya untuk Nurcholis Majid. Pak Hamka adalah ustaz dan kaunselor saya yang tidak pernah saya ketemu. Ebiet G Ade dan Iwan Fals adalah ahli seni yang cukup saya tersentuh dan sukai.
Usah bias pula; saya bukan Jawa ;) Cuma mungkin ada benarnya kepayahan dan kesusahan itu membuatkan manusia lebih memahami dunia dan lebih jujur. Kita di Malaysia ini terlalu mudah, terlalu senang. Maka payahlah kita hendak susah-susah faham. Kita lebih senang dengan yang cukup-cukup saja. Atau mengada-ngada menyusah-nyusahkan yang senang.
Bak kata Ebiet G Ade dalam Khabar Buat Teman:
Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan, sayang engkau tak duduk bersamaku kawan. Banyak cerita yang mestinya kau saksikan, di tanah kering berbatuan.